Aku Sepatutnya Lebih Kuat

Aku Sepatutnya Lebih Kuat

Nama aku Khadijah A/P Duku, berumur 20 tahun. Aku dari Suku Orang Asli Temuan di Kampung Orang Asli Pertak Kuala Kubu Baru, Selangor. Aku telah di pelawa oleh Cikgu Atiq, seorang Sukarelawan Yayasan Salam Malaysia (SALAM) di Pusat Pendidikan Dan Pembangunan Nutrisi Kanak-Kanak  di kampungku untuk menyertai lawatan sambil belajar ke Selangor Human Resource Development Centre (SHRDC) di Shah Alam. Memang aku Teruja aku untuk menyertai lawatan ini kerana amat jarang sekali untuk aku dapat keluar dari kampung, apatah lagi beramai-ramai bersama kawan-kawan.

Seawal pagi aku telah bersiap-siap dan menaiki bas yang telah disediakan. Perjalanan mengambil masa selama 1 jam dan setiba kami di sana, kami disambut oleh sukarelawan dan kakitangan SALAM serta Kakitangan SHRDC. Di SHRDC kami dipecahkan kepada dua kumpulan. Kumpulan Pertama akan mempelajari Teknik Grafik Berkomputer dan Kumpulam Kedua pula memasuki Kelas Robotik. Aku diletakkan di dalam kelas kedua, cuak juga memasuki kelas tersebut ditambah lagi banyak perkataan Bahasa Inggeris digunakan. Namun lama kelamaan aku telah dapat membiasakan diri dan penggunaan Bahasa Inggeris dalam kelas kemahiran sebegini bukanlah terlalu susah untuk difahami. Buktinya aku telah berjaya merekacipta sebuah robot dan ia boleh bergerak!. Aku sangat-sangat gembira. Terlintas di hati, bolehkah aku belajar di sini???. Namun jawapan yang diperolehi dari kakitangan SHRDC membuatkan angan-anganku terus melayang. Syarat kemasukan ke sini, minimum adalah E bagi 5 subjek SPM sahaja. SPM aku ??  Aku?..ahh!. Aku langsung tidak menjejak kaki ke sekolah menengah !. Aku sekadar bersekolah rendah sahaja. Aku memang sangat kecewa namun apalah yang mampu aku lakukan untuk mengubah keadaan.

Hakikatnya tika berusia 11 ke 12 tahun..Kami belum cukup dewasa untuk menimbang keputusan terbaik. Rata-rata kami tidak mahu ke sekolah menengah kerana kami memang malu menjadi bahan ejekan dan jenaka bangsa-bangsa lain. Salahkah kami berbangsa temuan? Hinakah kami ditakdir menjadi orang asli?. Muliakah mereka yang dijadikan selain dari kami? Mampukah kami mengubah kejadian tuhan ini?.  Aduhaiii‚Ķ Ibubapa pula bukanlah terlalu menggalakkan anak-anak ke sekolah. Terpulang kepada anak-anak itu sendiri. Tiada desakan dan tiada halangan. Ditambah lagi tiada bas sekolah disediakan. Oleh itu daripada bersusah-susah menghantar anak ke sekolah, lebih baik bersusah-susah ke hutan, sekurang-kurangnya dapat membawa pulang rezeki untuk anak-anak dan isteri.  Oleh itu, rata-rata kami anak-anak suku temuan hanya bersekolah di tahap sekolah rendah sahaja. Cukup untuk tahu asas mengeja, membaca dan mengira. Jika ada rezeki, dapatlah bekerja di kilang, menjadi buruh atau jurujual. Jika tidak, duduklah di kampung, masuk ke hutan dan meringankan beban ayah menyara keluarga. Anak-anak gadis pula, kebanyakkannya tika usia telah menginjak 14 tahun akan dikahwinkan. Itulah kenyataannya.

Kami umpama tiada pilihan. Hidup kami akan selamanya begini. Selagi tiada kuasa MAGIK yang boleh menghapuskan stigma masyarakat, selagi itu generasi temuan terus dibelengu rasa rendah diri dan malu. Akhirnya kami terus tinggal di pinggir hutan tanpa sebarang pembangunan. Tetapi bila masanya kuasa MAGIK itu akan tiba? Jika ada..syukurrrr. Jika tiada???. Sanggupkah aku melihat anak-anakku kelak mengalami nasib seperti diriku? Terlepas peluang yang terhidang dan menunggu waktu dikahwinkan sahaja.  TIDAK! Aku tidak sanggup! Aku mahu mereka pandai. Oleh itu, aku mahu mereka lebih kuat. Jangan kalah dengan kata-kata rakan-rakan di sekolah yang menghina bangsa kami dan menganggap selayaknya kami tinggal di hutan sahaja. Tolonglah butakan mata dan pekakkan telinga dengan kata-kata nista mereka. BIAR! Biar mereka terus-terusan begitu. Mereka tidak akan membantu jika kita hidup susah dan bodoh. Kita yang merasa susahnya hidup dan terus hidup susah jika kekal begini. Sedarlah! masa depan kita sebenarnya di tangan kita sendiri. SEDARLAH!

Close Menu