Kami Mahu Ke Sekolah Juga

Kami Mahu Ke Sekolah Juga

Kami berjumlah sepuluh orang masuk ke perkampungan orang asli di sekitar Kuala Tahan, Pahang penghujung Ogos yang lalu, tujuannya adalah menyerahkan sumbangan barangan keperluan dapur seperti beras, minyak, kopi dan gula kepada 60 keluarga di 4 buah kampung orang asli Suku Batek di sepanjang Sungai Tembeling. Kami perlu mendaki tebing yang tinggi untuk membawa barangan sumbangan ke setiap kampung. Apalah sangat kudrat perempuan yang seramai 7 orang. Lelaki pula 3 orang. Kami pula terlupa membawa air mineral, tidak sanggup pula meminum air sungai yang keruh warnanya, jadi dahagalah sepanjang perjalanan. Alhamdulillah di Kampung Teresek, sebagai tanda terima kasih orang kampung menebangkan pokok tebu yang tumbuh melata di tepi rumah mereka dan memotongnya mengikut ruas untuk kami, yang giginya kuat..memanglah terbaik untuk ‘menghonggeh’. Yang giginya dimamah usia.. hmmm.. berlinanglah air mata sambil menahan dahaga…ha ha ha ha. Ops! Kitastopcerita tebu.

Mari kami ceritakan kisah mereka, fokus kepada anak-anak di 4 buah kampung ini, Kampung Dedari, Teresek, Yong dan Aur. Tahun 2018 adalah tahun bersejarah untuk anak-anak di sini. Inilah pertama kali mereka menjejakkan kaki ke sekolah. 54 orang semuanya, dari umur 6 tahun hingga ke 16 tahun. Bersemangat mereka bangun pagi, menaiki bot dan berlari beramai-ramai dari jeti ke sekolah sebelum loceng berbunyi. Mereka ditempatkan di sebuah kelas khas. Tujuannya agar guru-guru dapat menilai prestasi pembelajaran mereka sebelum diserap ke aliran biasa. Di samping itu, mereka turut dibimbing tentang rutin persekolahan, seperti etika di dalam kelas, memakai uniform, menghormati guru, membasuh tangan sebelum makan, beratur di kantin dan lain-lain. Tidak sampai dua bulan mereka telah berjaya mengingati abjad ABC sehingga Z.

Namun yang menyedihkan peruntukan bagi minyak bot tidak mencukupi. Hendak disalahkan kerajaan tidak boleh juga, kerana belanjawan yang diputuskan di awal tahun hanya untuk tiga buah kampung sahaja. Manakala Kampung Aur adalah merupakan kampung baru yang baharu dibuka kesan dari aktiviti pindah randah yang diamalkan oleh mereka sejak turun menurun. Oleh itu anak-anak dari kampung ini hanya menunggu belas ihsan dari dermawan-dermawan yang sudi menyumbang. RM50 sehari. Anggaran RM50 x 20 hari = RM1,000.00 sebulan. Jika ada yang menderma..dan bot berisi minyak..maka ke sekolah lah mereka. Jika tidak.. dengan wajah yang sunggul mereka akan kembali semula ke rumah setelah lelah menunggu bot yang tidak muncul-muncul.  Seorang bapa menceritakan..anaknya hari-hari menangis sebab tidak dapat pergi ke sekolah..alahai… Bapanya sekadar tersenyum pahit sambil mengusap-usap kepala anaknya itu. Tika kami bertanya, mahu sekolah tak?. Bersinar mata anak tersebut sambil mengangguk-angguk laju.. kasihan. Tika ditanya, apa cita-citanya? Mahu jadi Ketua Pengarah JAKOA jawab anak berusia 8 tahun itu. Bapanya ketawa menyeringai. Kami hairan bercampur kagum.. bagaimana dia boleh bercita-cita sebegitu?, Kata bapanya, memang saya ajar begitu, rajin-rajinlah ke sekolah, sekolahlah tinggi-tinggi, kelak boleh berjawatan begitu dan bantu orang-orang kampung. Ohh…patut lah. Kami pula tersenyum. Semoga cita-cita yang dipahat sejak kecil tercapai.

 

Namun logiknya.. mampukah dia mencapai cita-cita itu? Mampukah bapanya yang sekadar memungut hasil hutan mengumpul wang ringgit dan membeli petrol untuk bot demi melihat anaknya ke sekolah setiap hari? Mampukah motivasi tinggi ke sekolah kekal utuh dalam hati anak-anak ini, jika bot yang dinanti setiap hari tidak muncul tiba? Mampukah, akhirnya masyarakat peribumi ini keluar dari kepompong kemiskinan, jika ini yang terpaksa mereka lalui setiap hari?  Logiknya..jawapan untuk semua soalan adalah ‘TIDAK!’. Namun segalanya akan menjadi ‘YA’, jika ramai dalam kalangan kita terdetik hati untuk berbudi.  Jom! Kita bantu sekadar termampu!

Close Menu