Dia & Telur Ayam

Dia & Telur Ayam

Zain. Itu sebenarnya bukan namanya. Memang saya telah terlupa. Cerita ini berkisar tahun 2005. Anggaplah namanya adalah ‘zain’. Dia salah seorang peserta bagi Kursus Asas Sukarelawan kami,  Zain adalah OKU (Orang Kelainan Upaya) dan dia seorang akauntan. Tangan kanannya memang tiada sejak lahir. Ketika saya di hadapan dan menerangkan nilai-nilai kesukarelawanan. Zain telah membawa kami ke zaman kanak-kanaknya. “ Cerita ini ketika saya kecil, tak ada sesiapa yang suka berkawan dengan saya, mereka malu agaknya..” katanya sambil tersenyum. Menurutnya, antara aktiviti paling digemari oleh kanak-kanak di kampungnya adalah memecahkan telur-telur ayam orang kampung yang mereka temui di kawasan paya yang terletak di belakang rumahnya. “Pernah saya mengekori mereka dan mereka meminta saya memecahkan sebiji telur ayam sebagai tanda kami sehati sejiwa, tetapi saya menolaknya walaupun saya ingin sangat mempunyai kawan”. Zain menambah “Sewaktu itu, saya hanya fikir bahawa tindakan itu salah dan lebih-lebih lagi saya rasa telur ayam itu kepunyaan Makcik Nah jiran sebelah rumah saya, kerana dia sahaja yang bela ayam di sekitar situ”. Zain menyatakan bahawa dia terdetik untuk menyelamatkan telur-telur ayam yang lain daripada menjadi mangsa. Oleh itu, pada hari berikutnya apabila pulang dari sekolah, Zain terus masuk ke kawasan paya secepatnya tanpa sempat menyalin pakaian sekolahnya. Zain berusaha mencari dan mendapatkan telur yang ada agar kanak-kanak lain tidak menemuinya.  Hari pertama Zain berjaya menemui 3 biji telur ayam dan terus membawa telur tersebut ke rumah jirannya. Makcik Nah tersenyum mendengar cerita  Zain yang merasakan bahawa telur yang dibawanya itu adalah kepunyaannya. “saya sekadar nak pulangkan telur sahaja tetapi Makcik Nah bagi 20 sen kepada saya.. dia kata sebab kamu budak baik.. makcik bagi upah.. selebihnya Allah bagi pahala”. Zain menyatakan bahawa peristiwa itulah yang menyebabkan dia tekad untuk sentiasa berbuat baik. Tidak mengapa dia tiada kawan sebaya tetapi masih ada orang yang suka. Tidak mengapa dia sentiasa sendirian tetapi Allah menilai segala kebaikan

Close Menu