Amat Rindu

Amat Rindu

Pernah satu ketika kami menjalankan sebuah program gotong-royong khusus untuk membersihkan sebuah rumah sepasang warga emas yang uzur. Keadaan luar rumah terbiar dan jelas terbengkalai. Hanya batu bata tanpa simen, jauh sekali bercat. Hanya ada daun pintu dan kebanyakkan tingkap tidak berjendela. Jelas terdapat zink yang telah reput berkarat. Tika kaki melangkah masuk, kami disambut oleh seorang lelaki tua yang kurus dan dianggarkan berumur sekitar 80 tahun. Kami diperkenalkan dengan isterinya yang berusia 69 tahun namun hanya terbaring di atas katil yang terletak di ruang tengah. Isterinya telah mengidap strok sejak 6 tahun yang lalu. Rumahnya agak luas namun tidak sempurna dan tidak diselenggara. Siling-siling telah uzur dan ada yang telah terlopong dan runtuh. Terdapat ruang yang lantai yang hanya berlantaikan tanah. Terdapat 3 buah bilik dan salah satu bilik tersebut dipenuhi dengan tilam-tilam buruk dan barang-barang terbuang. Agak hapak baunya kerana bumbungnya bocor dan ada kesan aliran air di dinding. Kami memutuskan untuk membersihkan bilik tersebut kerana keadaan lembap dan pelbagai barangan lama dan rosak boleh menjadi sarang binatang berbisa dan tentu membahayakan pasangan ini. Tiba-tiba pakcik itu bersuara “ bilik tu..jangan diusik ye nak. Tu bilik anak pakcik..hujung minggu ni dia balik..nanti marah pula dia” katanya sambil terbatuk-batuk kecil. Kami saling berpandangan kerana maklumat yang kami perolehi dari sukarelawan yang mengenali pasangan ini, keempat-empat anak mereka sudah lebih lima tahun tidak pulang menjenguk mereka. Keperluan mereka diurus oleh jiran-jiran yang berdekatan. Entah kemanalah anak-anak menghilang. Entah apa sebabnya tidak pulang-pulang. Sedang ibu dan ayah saban hari menanti dan terus menanti. Mata yang redup itu cukup sarat dengan rindu. Hingga tanpa sedar bayang-bayang anak ‘dihadirkan’ untuk menceriakan hari-hari yang mendatang. Entah bilalah mimpi-mimpi mereka menjadi nyata atau memang takdirnya tidakkan berjumpa walau tika dijemput pulang oleh Yang Maha Esa. Aduhai anak kesayangan…

Close Menu